Isnin, 28 Jun 2010

Selamat hari jadi - Tahun dan Umur Baru

Alhamdulillah...Khamis 24 Jun 2010 harijadi aku.. Moga Allah berkati usia kita semua. Amiiin.

Mari tengok petikan akhbar sikit pasal tahun baru ni..



Petikan dari akbar Siasah 4-10 Januari 2009/7-13 Muharam 1430 dalam kolum perspektif bertajuk "Azam baru didik anak hayati Islam" oleh Nasir Awang:


Tahun baru datang lagi. Agak bertuah kedatangannya kali ini hampir serentak antara kalendar Hijriah dan Masihiah. Kebetulan itu hanya muncul sekali dalam setiap 24 tahun. Persamaan tarikh antara kedua-dua hitungan itu terserlah beberapa bulan lalu apabila umat islam menyambut kedatangan 1 Ramadhan tepat pada 1 September. Kedua2 bulan tersebut adalah bulan kesembilan dalam kalendar masing2.

Kedatangan tahun baru juga sinonim dengan satu lagi tradisi masyarakat, iaitu penggal baru persekolahan. Bagi pelajar cemerlang dalam UPSR dan PMR, ibu bapa mereka tentu berusaha sedaya mungkin menempatkan mereka ke sekolah2 terpilih.Ibu bapa mengharapkan suasana pembelajaran terbaik bagi menjamin kejayaan anak2. Tiada yang lebih mendamaikan ibu bapa selain melihat anak2 berjaya dalam pelajaran. Dalam dunia serba mencabar kini, kecemerlangan akademik penentu segalanya.

Orang yang berjaya dalam pelajaran, mudah mendapat tempat dalam masyarakat. Semakin tinggi pencapaian akademik seseorang, semakin membukit sanjungan diterima dan semakin mudah pula ditawarkan itu dan ini. Itulah sisi cerah dunia pendidikan hari ini. Sisi gelapnya pula diwarnai segala macam kebobrokan. Alhamdulillah, kita memang berjaya melahirkan segala macam pakar. Kita tidak kurang doktor, peguam, arkitek, jurutera dan berbagai profesional. Masalah utama ialah pencapaian akhlak dan pekerti serta penghayatan islam anak2 kita tidak setanding kecemerlangan akademik mereka.

Mereka cerdik dan pintar , tetapi turut pintar menipu, melawan hukum Tuhan, makan suap, tidak solat, tidak puasa dan berbagai kemungkaran lagi. Inilah sebenarnya sisi gelap dunia pendidikan kita yang amat memilukan. Usah disebut soal ketiadaan akhlak dan pekerti anak2 kini. Bercakap kasar dan tiada adab, tingkah laku yang langsung tidak menghormati orang tua dan berbagai lagi. Logiknya, kalau kepada Tuhan pun mereka tidak menunjukkan rasa hormat dan patuh, bagaimana diharapkan mereka hormat dan patuh kepada sesama makhluk?

Acapkali kita dengar saranan pelbagai pihak bahawa penyelesaian terbaik bagi kebobrokan moral masyarakat kini ialah dengan kembali menghayati nilai2 akhlak dan adab diajarkan agama. Perlu diakui hasrat mendapatkannya tidak mudah. Ia bukan dapat dicapai sekadar melalui satu mata pelajaran yang diajar dua atau tiga masa seminggu. Mahu tidak mahu, anak2 perlu didedahkan kepada lebih masa mendalami ilmu agama sebagai panduan hidup mereka. Saya pernah mencadangkan kepada rakan dan kenalan agar menjadikan sekolah2 agama sebagai pilihan menghantar anak2 menyambung pelajaran, terutama di usia mumbang mereka. Cadangan itu dihujani berbagai alasan dan dalih. Paling lumrah mereka luahkan pesisme tentang masa depan. Kata mereka, kerjaya menunggu lepasan pendidikan agama agak terbatas.

Selain itu, ada dua logik lagi. Pertama, tidak semestinya anak yang tidak dihantar ke sekolah agama atau mengaji agama di usia mumbangnya akan membesar sebagai manusia jahat. Kedua, tidak semestinya anak yang dihantar mengikuti pengajian agama akan besar sebagai orang baik dan berguna. Mereka mendakwa, dan saya juga tidak menafikan, memang terdapat anak2 yang dihantar mengaji agama tetapi besarnya tidak menjadi ahli agama atau warga soleh dan berguna. Begitu juga, memang ada orang yang tidak pernah memasuki sekolah agama sejak sekolah rendah hingga ke peringkat universiti, tetapi apabila dewasa mampu membaca kitab agama, mengajarkan ilmu islam , menjadi imam bahkan menyampaikan khutbah dan ceramah agama. Sebab itu ramai ibubapa mengambil jalan mudah. Tidak perlu bersusah payah memberikan didikan agama kepada anak2 di usia muda, nanti besar pandai-pandailah mereka mencarinya sendiri.

Kita tentunya amat bertuah sekiranya anak kita berakhir sebagai insan dewasa berguna dan diredhai Allah. Bagaimana sekiranya anak yang diharapkan memberikan syafaat tatkala kita sudah mati bertukar menjadi beban yang menambah penyeksaan? Kita tidak tahu bagaimana kesudahan hidup anak2 nanti. Tambah sukar diramalkan dengan persekitaran hidup yang semakin kompleks dan caca marba dalam dekad mendatang ini. Segala kemungkinan boleh berlaku. Kita mungkin tidak sempat hidup lama untuk melihat hasil didikan terhadap anak2 atau untuk memperbetulkan kesilapan hidup mereka. Namun sebagai ayah dan ibu, kita tetap akan dipertanggungjawabkan atas peri laku buruk anak2 itu. Paling tidak Tuhan akan tanya kita, apa yang kamu buat sepanjang anak2 kamu masih dibawah jagaan kamu bagi memastikan mereka selamat di dunia dan akhirat?

Soalan serupa itulah yang menghantui burung layang2 dalam kisah Nabi Ibrahim a.s. yang dibakar kaumnya. Burung kecil itu tahu kadar air yang dicurahkan dari paruhnya mustahil dapat memadamkan api begitu besar untuk menyelamatkan Nabi Allah itu. Namun dia ada hujah kepada Tuhannya sekiranya ditanya, "apa kamu buat ketika melihat Nabi Ibrahim a.s. dibakar?". Kita pun begitu juga. Kita tahu dalam rangka mendidik anak2 seribu satu macam pengaruh buruk datang menggugat. Sebab itu ada ibu bapa sangat baik dan telah memberikan didikan agama sebaiknya kepada anak2, namun hasilnya amat mendukacitakan. Pun begitu, andaikata kita telah berusaha sebaik mungkin membekalkan mereka dengan didikan agama, ada harapan untuk kita dimaafkan Tuhan.
Justeru, sebagaimana bersungguhnya kita menempatkan anak2 di sekolah terbaik demi menjamin kebaikan dan keselamatan hidup mereka di hari depan, wajar juga kita tanya diri kita sendiri, sesungguh itu jugakah kita mempersiapkan anak2 kita untuk keselamatan mereka di akhirat nanti?

Apa kata kita jadikan azam sempena tahun baru ini untuk mencari jalan terbaik bagi anak2 agar mengenali agama mereka dan menghayati cara hidup islam sedapat mungkin di celah-celah pancaroba kehidupan ini.


Kata aku: Sungguh tersentuh hati membaca artikel diatas ini.. Sebagai bapa, terasa takut dan bimbang juga memikul tanggungjawab besar ni terhadap anak2 di zaman mencabar ni.. Ya Allah tolong kami dan ampunilah dosa kami..Amiin..
Apa pendapat pembaca sekalian?

tambahan: mumbang = usia mentah/kecil
pesisme = sikap tak berganjak/ berkeras

Tiada ulasan: